Tuesday, December 1, 2009

Bawang Putih (Garlic)


Bawang putih ataupun dalam nama sainsnya iaitu Allium sativum adalah merupakan salah satu herba yang amat dikenali kerana keberkesanannya dalam merawat pelbagai jenis penyakit. Bawang putih adalah termasuk dalam family Liliaceae dan ia juga adalah dalam kumpulan yang sama dengan bawang merah. Oleh kerana ia merupakan tumbuhan yang wujud agak lama, maka adalah sukar untuk menentukan negara asal tumbuhan ini sendiri. Mengikut Mrs. M. Grieve dalam bukunya yang bertajuk " A Modern Herbal " bawang putih boleh didapati di utara dan selatan Siberia dan kemudiannya berkembang ke selatan Eropah dan ia juga dikatakan tumbuh secara liar di Sicily. Menurut Mrs. M. Grieve, bawang putih juga ditanam secara meluas di negara-negara Latin yang bersempadan dengan negara Mediteranean.

Dalam membicarakan tentang bawang putih ini, terdapat banyak kepercayaan mengenai bawang putih ini sendiri. Dalam zaman Shakespeare, terdapat bukti yang mengatakan bahawa bawang putih dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak baik. Dalam masyarakat Greek Purba pula, dipercayai mereka yang memakan bawang putih tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah suci. Ada juga kepercayaan yang mengatakan bawang putih telah menyelamatkan Odysseus/Ulyses daripada ditukar kepada babi.

Bawang putih juga telah disebut dalam buku-buku China terdahulu sebelum tahun 2000 S.M lagi. Selain itu ia juga disebut dalam kebanyakan dalam karya-karya sastera seperti Shakespeare, Chancer dan Danten.

Dalam zaman ini pula, masyarakat tidak lagi menghiraukan kepercayaan-kepercayaan karut mengenai bawang putih itu sendiri. Namun suatu keajaiban kini kerana bawang putih muncul sebagai suatu tumbuhan yang boleh menjadi penawar kepada pelbagai jenis penyakit yang kronik. Antara penyakit-penyakit itu termasuklah tekanan darah tinggi, kencing manis, ulser, cirit birit dan sebagainya. Berikut adalah penerangan mengenai bawang putih dan penawarnya untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

No comments:

Post a Comment